Lama tak update entry baru.. dalam duk tengok blog-blog orang saya tertarik pada satu entry yang telah di buat oleh ust hazrizal. beliau berkongsi tentang kematian seorang ayah. cukup kuat beliau mengharungi perjalanan hidup. saya pun sama je nasib dengan beliau.. cuma kali ini saya nak kita sama2 baca apa yang ust hasrizal masukkan untuk tatapan pembaca blog beliau. jadi di sini skali lagi saya ingin masukkan entry yang beliau masukkan di blog beliau untuk tatapan kawan-kawan yang masih belum membaca entry beliau. semoga kita sama2 berkongsi untuk kebaikan..
Nadiku Mendegupkan Kasihmu
May 9th, 2010 by Abu Saif 1:20 am | 8,714 views | Print | Email | Leave a reply »Bonda di pusara Ayahanda
Saat wajah emak tersembam ke ribaan saya dalam tangisan, saya tahu dunia tidak akan lagi seperti semalam.
“Rizal, abah kamu dah tak ada!” tangisan emak pecah dalam kata-kata itu.
Malam itu abah pergi selama-lamanya. Pergi meninggalkan kami dalam kejutan dan kebingungan. Emak jauh daripada bersedia untuk menjadi ibu tunggal kepada lima anak lelakinya yang menjadi yatim tanpa diduga. Rumah kami menjadi kapal. Hanyut di lautan tanpa tepi ketika nakhoda hilang secara tiba-tiba.
Malam itu juga saya memapah semangat turun ke dapur untuk berwudhu’. Wajah saya basah dengan air mata. Hati bagai mahu meledakkan perasaan sedih, kecewa dan putus asa. Tetapi agama mengajar saya memaut harapan kepada yang Maha Esa. Saya membentang sejadah dan solat saya tenggelam dalam tangisan.
Emak membesarkan kami sendirian.
Selama ini, emak menguruskan makan minum kami. Abah menjaga urusan-urusan kehidupan yang lain. Betapa abah bersungguh menjaga persekolahan dan makan minum kami, hingga abah tidak pernah membeli baju sehinggalah emak sendiri yang membeli kerana tidak betah melihat suaminya lusuh berpakaian yang sama setiap masa. Tetapi ketika abah tiada, emaklah ibu emaklah bapa. Kami lima beradik diberinya makan dan minum, dijaga biar pun ada kalanya dengan leteran dan kemarahan, agar kami menjadi manusia.
Emak kahwinkan kami, menyambut menantu yang tidak berbapa mertua. Kenduri kahwin sentiasa pincang terasa, tetapi emak bertahan dan terus menempuh hari demi hari sendirian. Biar pun emak bukanlah seorang yang ekspresif dalam meluahkan isi hatinya, emak mencari kekuatan dalam Tahajjudnya. Amalan yang tidak pernah emak tinggalkan semenjak saya mahu mengingat semalam.
Saya berhutang budi kepada abang-abang saya.
11 tahun di perantauan, tidak banyak yang dapat saya lakukan pada melunaskan tugas sebagai seorang anak selain doa yang tidak pernah berhenti pada setiap hari hidup bernadi. Tetapi abang-abang sayalah yang meneman, menjaga dan melindungi emak dengan sepenuh upaya. Malah selepas kembali ke negara halaman, saya masih bertarung mencari peluang untuk berbakti kepada emak, dan segalanya masih terlalu jauh daripada kesempurnaan.
Setiap hari adalah hari ibu buat saya.
Duhai isteri dan anak-anakku, kasihilah seorang wanita tua yang semakin tua itu. Sesungguhnya diriku tiada di sisi kalian tanpanya.
Duhai setiap insan yang mengenaliku, pada semua kebaikan dalam persahabatan kita, doakanlah untuknya kerana dialah asbab diriku menjadi temanmu.
Segalanya bermula daripada seorang…. IBU.
DUHAI BONDA
(Nowseeheart)
Bagai kerdipan lilin yang berkilau, bercahaya
Menggantikan mentari terangi malam nan gelita
Membakar diri memberikan cahaya
Membiar diri musnah terlebur
Berkorban segalanya penuh rela
Biar dimamah arus usia
Tidak pernah kenal derita
Bagai sungai kasih yang mengalir
Tiada penghentiannya, tak bertebing
Duhai ibunda kaulah anugerah istimewa
Berkorban jiwa raga redahi hidup nan mencabar
Berusaha dan sabar dalam mengharungi derita
Hidupmu penuh ranjau meniti kepayahan yang tiada kesudahan
Tidak sekali mengharapkan dibalasi permata
Cukup engkau rasa bahagia
Lihat anak-anakmu berjaya
Kau penawar hati duka
Walau hatimu terluka
Engkau ibu engkaulah bapa
Pabila ayah tiada
Hanya Tuhan saja yang dapat membalas jasamu
Kerana Tuhan saja yang tahu penderitaanmu
Wahai bonda
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
No comments:
Post a Comment