perkongsian mengenai dengan judi bola sepak piala dunia.

atikal ini saya petik dari blog ust nik abduh. sekadar untuk perkongsian bersama lah. moga kita semua mengambil manfaat imlu dari kalam beliau.


Di dalam Islam, binaan kepercayaan batin di dada seorang muslim terhadap sesuatu adalah lebih penting dan didahulukan daripada perlakuan zahirnya terhadap kepercayaan tersebut. Justeru iman lebih penting daripada Islam sekalipun tiada mungkin wujud iman tanpa rukun Islam yang pertama, iaitu pengakuan zahir lidah dengan syahadah la ilaha illaLlah.


Seseorang itu tetap muslim ( kerana syahadahnya )sekalipun dia tidak solat atau meminum arak sekiranya dia masih mengimani kewajiban solat dan keharaman arak ke atasnya. Kecacatan pada Islamnya itu ( kerana meninggalkan kewajiban ) menjadikannya bukan seorang yang beriman dengan sebenar – benar iman. Iman belum memasuki dan tetap dadanya.


Dia cacat Islam dan iman. Dia seorang yang fasiq. Orang fasiq boleh dikenali secara mudah kerana ia berkaitan perlakuan zahirnya.


Tetapi segalanya bubar dan runtuh apabila dia tidak percaya dan mengimani kewajiban solat ke atasnya sekalipun dia bersolat lima waktu. Begitulah juga, samada dia minum arak atau tidak, Islam dan imannya gugur dan hancur apabila dia meyakini dan percaya tiada pengharaman arak ke atas dirinya.


Jika dia berterus terang terhadap keingkarannya itu dengan lidahnya, maka dia telah murtad lalu menjadi kufur. Hukuman zahir ke atas si murtad berjalan ke atasnya. Jika dia menyembunyikannya, maka dia adalah munafik peringkat utama, iaitu munafik aqidah yang akan menjahanamkannya di sisi Allah yang maha mengetahui segala – galanya.


Tiada beza di sisi Allah bagi orang yang ingkar di dalam dadanya samada dia melakukan kewajiban solat atau tidak. Begitu juga amalan – amalan yang lain. Adapun di sisi manusia, ia berbeza disebabkan mereka lemah dan gagal mengetahui erihal hati dan batin.


Orang munafiq sukar dikenali kerana ia berkaitan kepercayaan di dadanya yang bersifat batin.

Tiada hukuman di dunia ke atas sifat nifaq sehinggalah si munafiq itu melakukan kesalahan dan jenayah zahir sebagaimana muslim yang lain.


Justeru walaupun kemunafikan lebih bebas menjalar di dalam masyarakat muslim dengan tertangguhnya hukuman duniawi ke atas gejala buruk batinnya berbanding perlakuan fasiq yang nyata dan mengundang hukuman duniawi, tetapi nifaq yang merosakkan iman di dada itu adalah lebih bahaya dan menakutkan untuk kehidupan masyarakat Islam di dunia dan diri sendiri di akhirat nanti.


Penjelasan ini akan dilihat secara lebih jelas jika sekiranya kita hidup di dalam sebuah Negara Islam. Adapun di dalam negara Malaysia yang menolak hukum – hukum ugama hari ini, kita mungkin sukar memahami kebahayaan nifaq berbanding kefasiqan.


Lihat saja YB Dato Bung Mukhtar yang dihukum dengan hukuman oleh mahkamah syariah kerana masalah pendaftaran perkahwinan keduanya sedangkan kesalahan zina, bersekedudukan dan pergaulan bebaslah yang sepatutnya mesti diutamakan hukumannya kerana ia adalah maksiat yang nyata.


Hasilnya, daripada kahwin dua yang begitu susah tatacaranya dan mengaibkan secara rasmi, lebih baik menyimpan 10 perempuan simpanan.


Begitulah apabila ugama Islam ditampal – tampal untuk memperindahkan sistem dan undang – undang sekular yang saling bertentangan di antara keduanya. Islam menjadi kelihatan hodoh dan zalim di mata manusia dek dipaksa menerima kehendak nafsu dan kemunaqian dalam beragama.


Allah secara jelas menolak kecuali Islam ini hendaklah diambil dan dipakai terima secara menyeluruh. Apabila Allah berkata tidak, maka tiada yang menjadi apabila kataNya dilanggar.


Begitulah UMNO dan itulah UMNO, dulu sehinggalah kini.


Apabila isu judi bola sepak yang baru dilesenkan, disahkan dan dihalalkan oleh kerajaan BN mula panas dan kini menjadi isu utama di negara kita hari ini, kita sebenarnya tidak boleh ketinggalan untuk mengenali da memahami beberapa perkara penting yang menjadi binaan kukuh di dalam kehidupan Islami umat ini.


Saya ingin berkongsi dengan anda untuk membuat penilaian ke atas perkara – perkara berikut:

1) Di mana letaknya Islam ketika para pemimpin UMNO menghalalkan judi yang terbaru ini?

Adakah mereka menerima pengharaman Islam terhadap judi tetapi tetap menghalalkannya? Atau, mereka sebenarnya telah ingkar terhadap pengharaman itu di dalam hati lalu menghalalkannya?


Dengan kes – kes pelesenan judi yang tak pernah lekang daripada perlakuan UMNO yang terus menghalalkannya dari dulu sehingga kini dan tiada langsung usaha ke arah menghapuskannya secara total, hampir – hampir kelihatan bahawa para pemimpin besar UMNO seolah – olah beriman dan yakin bahawa judi adalah halal dan mesti dihalalkan permainannya, pendapatannya dan kesannya juga.


Jika ini, maka jelas ia adalah perang terhadap Allah dan hukumnya. Jika ini, iman UMNO adalah tertanggal, runtuh dan kosong. UMNO dengan itu adalah sekularis totok setotok watak Kamal Ataturk, bapa sekular Turki lampau dan partinya.


Tetapi, jika dilihat kepada watak UMNO daripada sisi terbalik yang bercakap mengenai ugama Islam dan kepentingannya, juga perlaksanaan projek – projek ke arah kemajuan Islam dan juga kelantangan beberapa pemimpinnya yang turut menolak judi dan penghalalannya, maka adalah salah untuk membenarkan telahan bahawa UMNO sebenarnya telah menolak pengharaman judi oleh ugama.


Jika begitu, UMNO dihinggap penyakit nifaq yang jelas. Ia telah menghalalkan judi berkali – kali dan tidak pernah berhenti menghalalkannya. Tetapi ia menutup keberanian dan kejalangannya ke atas agama itu dengan kempen – kempen ke arah kehidupan Islami yang sihat, malah menghidupkan sebahagian

syiarnya yang agung seperti pembinaan masjid, pusat pengajian Islam, Tabung Haji dan sebagainya.


Inilah nifaq yang tulen. Ini lidah bercabang yang terhina di dalam beragama. Kita menjadi semakin hampir untuk membenarkan hukuman ini.


Tetapi jika anda masih keliru dan enggan menerima penghukuman nifaq ke atas UMNO disebabkan kekeliruan dan kesamaran yang masih menghantui, maka tiada lagi buat UMNO selain kefasiqan yang nyata.


Fasiq kerana ia secara terang – terang menghalalkan apa yang diharamkan Allah secara terang – terang juga. Hanya yang menyelamatkan UMNO adalah soal hati dan batinnya yang sukar dibaca dan sering berubah – ubah di antara patuh dan ingkar.


Fasiq adalah keluar daripada ketaatan secara nyata. Menghalalkan judi dengan melesenkannya sebagai perniagaan untuk mengaut keuntungan adalah keluar daripada ketaatan kepada Allah yang nyata.


Jika anda tetap keliru menghukum UMNO sebagai fasiq dalam kes ini, maka anda sebenarnya keliru terhadap iman di dada anda sendiri. Adakah anda seorang yang beriman kepada Allah?

Seorang muslim tidak mungkin keliru untuk berperang bagi pihak Allah. Saya adalah daripadanya dengan izin dan rahmatNya. Semoga anda juga.


2) Apakah sikap dan pendirian kita di dalam isu ini sebagai seorang muslim?

Jika anda ridha dengan penghalalan judi, maka anda keluar daripada garisan iman dan iman anda tercabut daripada dada. Ini hukum yang pasti. Ridha adalah soal hati. Hanya Allah, kemudian anda yang mengetahui hati anda. Dan, semoga Allah menjauhi kita daripada perbuatan menghalalkan apa yang diharamkan Allah.


Jika anda tidak ridha dengan penghalalan judi oleh UMNO, anda adalah seorang muslim. Tetapi anda bukan lagi seorang yang beriman sehinggalah anda menentang kejahatan UMNO itu dengan kekuatan tangan atau lidah. Itu syarat iman yang benar. Ciri iman adalah menentang kemungkaran dengan tenaga yang ada sebagaimana ianya adalah menyuruh kepada kemakrufan dengan segala hikmah.


Jika anda lemah, maka lawannya dengan hati dengan membenci UMNO. Membenci UMNO adalah iman! Tetapi itulah selemah – lemah iman sebagaimana itulah persabdaan junjungan nabi sallaLlahu alaihi wasallam. Sudikah anda kembali kepada Allah dengan membawa iman yang lemah dan longlai dek takut menyebelahi Allah secara nyata untuk menentang kezaliman UMNO?


Justeru lawanlah UMNO dan kemungkarannya. Lawan dengan tangan jika itu tuntutannya. Atau dengan lidah kerana itulah tuntutan penentangan dalam masyarakat muslim. Kedua – duanya mestilah disertakan dengan kebencian yang nyata terhadap UMNO dan kejalangannya.

Itulah keseronokan beriman pada tahapnya yang benar.


UMNO? UMNO begitulah hukum ke atas mereka sehinggalah mereka menarik balik lesen judi tersebut dan kembali kepada Islam dan pengajarannya yang mesti diimani dan ditaati. Tetapi sayugia diingatkan bahawa UMNO adalah penuh dengan perlanggaran terhadap hukum – hukum Allah dan pengajaranNya. Selepas berpisah daripada judi, UMNO mestilah berpisah daripada kemungkaran ugama yang lain. Di situ UMNO pun berubah.


Orang UMNO? Demi iman, wajib ke atas orang – orang UMNO membantah secara nyata kerana jika sebaliknya kekeliruan akan terus menyelubungi iman mereka. Mereka dengan demikian, seolah – olah menyokong dan meredhainya. Jika mereka diam, iman mereka sentiasa di dalam kabut fitnah. Menjadi penyokong UMNO pun satu hal, apatah apabila diam terhadap kemungkaran tuannya yang nyata.


3) Bagaimana dengan ulama yang mendiam diri?

Merekalah syaitan bisu! Mana ada syaitan yang bisu? Ya, tiada syaitan bisu selain mereka. Mereka adalah manusia syaitani. Mereka bukan pewaris ulama umat nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, tetapi mereka adalah warisan ulama Yahudi dan Nasrani yang menyelewengkan ugama mereka yang benar.


Ulama yang diam di saat umat memerlukan sikap dan kata – kata mereka, itulah seburuk – buruk orang alim di dunia ini.


Jika anda menemui mereka, jauhi mereka kerana neraka lebih dekat kepada mereka berbanding kita orang awam. Jika anda menjauhi mereka, yakinlah anda sedang mendekati ulama yang benar. Tiada ulama yang benar kecuali berani berkata benar dalam semua perkara yang dalam ilmu dan pengetahuan mereka.


Jika anda bergurukan ulama yang benar dan berani, anda akan turut menjadi benar dan berani dalam iman. Itulah sebaik – baik tuah dalam kehidupan ini.


4) Adakah UMNO adalah sebuah harapan untuk umat Islam?

Tanyalah iman di dada. Tepuk dan tanya. Bagi saya, jika seratus doktor berusaha mengubati UMNO hari ini, mereka memerlukan seribu doktor pula untuk mengubati mereka pula akibat terkena jangkitan penyakit UMNO!


Seorang mufti yang sentiasa pelik dan ajaib dalam negara kita pernah menyarankan supaya pengidap jangkitan AIDS hendaklah diasingkan ke sebuah pulau yang terasing agar masyarakat menjadi selamat daripada jangkitan mereka.


Sila anda jawab soalan ini; Bezakan di antara UMNO dan AIDS?


Jika anda gagal menemui perbezaan, sila hantar UMNO ke pulau tersebut. Jika sebaliknya, marilah bersama menghapuskan nyamuk aedes!


Umat Islam tidak memerlukan UMNO untuk keagungan Islam dan kegemilangan mereka.